Thursday, September 11, 2008

kisah dari Al Quran Siri (13)

Pembebasan Bilal oleh Abu Bakar as-Siddiq

PADAHAL tidak ada seorangpun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya, tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi. Dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan. (al-Lail: 19-21)

APABILA tersebut nama Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab akan berkata: “Abu Bakar adalah pemimpin kita yang memerdekakan ‘pemimpin kita’.” Maksud yang memerdekakan ‘pemimpin kita’ tidak lain dan tidak bukan ialah Bilal bin Rabah. Beliau merupakan bekas hamba Habsyi milik Umaiyah bin Khalaf, seterusnya dimerdekakan oleh Abu Bakar as-Siddiq seperti disebutkan dalam ayat al-Quran di atas.

Cahaya hidayah terpancar di hati Bilal bin Rabah apabila majikannya Umaiyah sering melepaskan kemarahannya pada Rasulullah. Di situlah beliau mula mengenal Rasulullah. Dari situ jugalah Bilal mula mengenal Islam yang dibawa Baginda. Beliau mendengar Islam tidak mempunyai kasta, tiada penindasan serta mengajak menyembah Tuhan yang satu.

Pada suatu malam, secara sulit Bilal pun keluar untuk berjumpa Rasulullah. Ketika itulah dia menyatakan keislamannya di hadapan Rasulullah.Esoknya, Bilal berlagak seperti biasa. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Beliau cuba menyembunyikan keislamannya daripada majikannya yang kuat menentang Islam.

Hinggalah pada suatu hari, apabila Ammar ditangkap kerana memeluk Islam. Ammar disuruh membela diri di hadapan Abu Jahal serta pemimpin lain termasuk Umaiyah. Bilal juga hadir menemani majikannya itu. Setelah Ammar gagal didesak meninggalkan Islam, Umaiyah memerintahkan Bilal supaya membelasah Ammar, lalu diberikan cemeti.

Bilal kaku apabila memandang cemeti itu dan dilepaskannya. Ammar menjadi terkejut lalu memberikan cemeti itu kepada Bilal. Beliau menyuruh Bilal memukulnya kerana takut rahsia Bilal terdedah. Namun Bilal nekad. Umaiyah bertambah geram apabila mengetahui hambanya itu telah memeluk Islam. Lebih memalukan apabila peristiwa tersebut berlaku di hadapan Abu Jahal selaku pemimpin Quraisy.

Keesokan harinya Bilal dibawa ke padang pasir di waktu panas terik yang membahang. Di situlah Bilal dibelasah lalu dipaksa meninggalkan Islam. Melihat keengganan Bilal, Umaiyah membaringkan Bilal di atas padang pasir yang panas membara tanpa pakaian.

Umaiyah lalu memerintahkan orangorangnya mengangkat batu besar yang panas lalu diletak di atas dada Bilal. Bilal kian lemah, tetapi lidahnya masih kuat menyebut, “Ahad! Ahad! Ahad! (Allah Yang Maha Tunggal).”

Umaiyah semakin berang. “Sebutlah demi Latta dan Uzza!” desak Umaiyah. Namun Bilal tetap menyebut, Ahad! Ahad! Ahad!”

Kini Umaiyah sedar dia menerima tamparan hebat daripada hambanya sendiri dan hampir-hampir dia mengalah.Abu Bakar yang tidak tahan melihat Bilal diseksa, akhirnya datang bertemu Umaiyah.

“Apakah kamu mahu membunuh lelaki ini hanya kerana mengatakan Tuhan Allah?” Umaiyah tersentak, seolah-olah kehilangan punca.

“Terimalah ini sebagai tebusannya,” kata Abu Bakar sambil menghulurkan 100 uqiah sebagai tebusan.Umaiyah pun lega apabila hambanya yang ingkar itu dijual dengan harga yang tinggi.

Bilal dilepaskan dan dibebaskan oleh Abu Bakar as-Siddiq. Demikianlah Allah memuji usaha Abu Bakar dengan turunnya ayat 19-21 dalam surah al-Lail.

Kisah dari Al Quran Siri (12)

Raja yang angkuh dan ahli sihir kanak-kanak

TERKUTUKLAH orang-orang yang membuat lubang-lubang (pembakaran), api yang bernyala-nyala, ketika mereka duduk mengelilinginya, sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman. Tidak ada yang mereka ingkari daripada orang- orang mukmin, kecuali kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Terpuji... (al-Buruuj: 4)

PADA suatu masa, ada seorang kanak-kanak yang mempelajari ilmu sihir dengan ahli sihir diraja. Ahli sihir itu sudah tua, jadi raja pun menyuruh kanak-kanak itu menjadi penggantinya. Setiap hari kanak-kanak itu pun berulang alik dari rumahnya ke rumah ahli sihir itu.

Di pertengahan jalan, terdapat sebuah rumah milik seorang pendeta. Kanak-kanak itu selalu berhenti di rumah itu kerana amat tertarik dengan ajaran pendeta itu. Pada suatu hari, kanak-kanak itu dalam perjalanan ke rumah ahli sihir. Di pertengahan perjalanan, dia diganggu oleh binatang buas.

Kanak-kanak itu pun ingin menguji ajaran siapakah lebih baik. Adakah ahli sihir atau pendeta? Dia pun mengambil sebiji batu.“Ya Allah, kalau ajaran pendeta itu benar di sisi-Mu dan ajaran ahli sihir itu salah, maka kau bunuhlah binatang ini.”

Kanak-kanak itu pun melemparkan batu yang dipegangnya. Dengan izin Allah, matilah binatang itu apabila terkena batu yang dilontarnya. Kanak-kanak itu pun pergi ke rumah pendeta dan dia menceritakan apa yang berlaku.

“Wahai anakku, engkau telah mencapai darjat yang tinggi. Selepas ini, engkau akan menempuhi banyak cubaan. Walau apa pun yang berlaku, janganlah engkau menceritakan bahawa engkau mengenaliku,” pesan pendeta itu.

Mulai hari itu, nama kanak-kanak itu pun terkenal. Dia juga mampu mengubati pelbagai penyakit. Ramailah orang datang berubat dengannya.Seorang pembesar raja yang buta pergi berubat dengan kanak-kanak itu dan membawa banyak hadiah.

“Kalau kau mampu menyembuhkan butaku ini, aku akan memberi kau lebih banyak hadiah,” kata pembesar itu.

“Saya tidak berkuasa menyembuhkan penyakit. Hanya Allah yang mampu. Jika tuan mengaku beriman kepada Allah, saya akan berdoa agar penyakit tuan disembuhkan,” kata kanak-kanak itu.

Selepas kanak-kanak itu berdoa, sembuhlan mata pembesar yang buta itu. Dia pun bertemu dengan raja dan raja berasa sangat hairan.“Siapa yang menyembuhkan mata engkau? Adakah kanak-kanak ahli sihir itu?” tanya raja.

“Bukan!” jawab pembesar itu. “Tuhan ku dan Tuhan tuanku iaitu Allah.”

“Engkau mengaku ada Tuhan selain aku?”“Tuhanku dan Tuhan tuanku ialah Allah,” tegas pembesar itu. Raja sangat murka. Pembesar itu ditangkap dan diseksa. Akibat tidak tahan menanggung seksa, pembesar itu memberitahu bahawa gurunya ialah kanak-kanak itu.

Kanak-kanak itu juga diseksa apabila dia mengatakan Tuhannya ialah Allah. Apabila tidak tahan menanggung seksaan itu, dia pun memberitahu nama pendeta yang menjadi gurunya.Pendeta itu juga ditangkap dan diseksa serta dipaksa meninggalkan agama Allah itu.

Apabila pendeta itu enggan, kepalanya digergaji sampai terbelah dua. Pembesar itu pun dibunuh juga.Raja mengarahkan supaya kanak-kanak itu dihumbankan dari atas gunung tetapi kanak-kanak itu terselamat. Raja mengarahkan semula supaya dia dilontarkan ke tengah laut. Sekali lagi dia diselamatkan oleh Allah.

“Wahai raja, tuanku tidak akan dapat membunuhku. Namun, jika tuanku mahu membunuhku, ada syaratnya,” kata kanak-kanak itu.

“Apa syaratnya?” soal raja.“Suruhlah manusia berkumpul di suatu tempat. Salibkan aku. Tuanku ambil satu anak panah. Semasa hendak melepaskan anak panah, tuanku bacalah, Dengan nama Allah, Tuhan anak kecil ini. Barulah tuanku dapat membunuhku.”

Raja pun melakukan seperti yang diarahkan. Akhirnya kanak-kanak itu pun mati. Orang ramai yang hadir terkejut melihat peristiwa itu. Mereka terus beriman kepada Allah.Raja itu amat murka. Dikerahkan orang suruhan baginda agar menggali lubang yang besar kemudian dinyalakan api.

“Sesiapa yang masih beriman dengan Tuhan kanak-kanak ini, dia akan dibakar di dalam lubang ini. Sesiapa yang kembali kepada agama nenek moyang, mereka akan selamat,” kata raja itu.Namun, tidak ada seorang pun yang berundur. Mereka beramai-ramai terjun ke dalam lubang yang dalam itu. Maka mereka itu pun mati dalam keimanan.

Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.
PENGAJARAN*Hanya Allah yang mampu menyembuhkan sebarang penyakit.

Kisah dari Al Quran Siri (11)

Dakwah Nabi Ibrahim kepada ayahnya

CERITAKANLAH (hai Muhammad) kisah Ibrahim di dalam al-Kitab (al-Quran) ini. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan lagi seorang nabi.

Ingatlah ketika ia berkata kepada bapanya; “Wahai bapaku, mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar tidak melihat dan tidak dapat menolong kamu sedikitpun? Wahai bapaku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutlah aku nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus. wahai bapaku, jangan kamu menyembah syaitan.

Sesungguhnya syaitan itu derhaka kepda Yang Maha Pemurah. Wahai bapaku, sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan ditimpa azab daripada Tuhan Yang Maha Pemurah. Maka kamu menjadi kawan bagi syaitan. (Maryam: 41-45)

MASYARAKAT pada zamana Nabi Ibrahim mengamalkan ajaran paganisme. Bapa Nabi Ibrahim merupakan salah seorang daripada penganut ajaran tersebut. Mereka menyembah patung-patung dan berhala yang dicipta oleh mereka sendiri.Nabi Ibrahim telah diberi petunjuk oleh Allah s.w.t. untuk membimbing masyarakatnya pada ketika itu.

Pada mulanya baginda menyampaikan dakwah kepada orang-orang yang berada paling hampir dengannya.Baginda telah menyebarkan dakwah kepada bapanya sendiri. Bapanya merupakan salah seorang daripada penyembah berhala. Nabi Ibrahim tidak mahu ayahnya berada di dalam kesesatan buat selama-lamanya.

Pada suatu hari, Nabi Ibrahim mengajak ayahnya berbincang tentang anutannya selama ini. Baginda menggunakan cara seruan yang paling lembut agar ayahnya tidak terasa hati.Walaupun pelbagai tentangan diterima daripada bapanya, Nabi Ibrahim tetap meneruskan dakwahnya. Baginda berazam untuk mengeluarkan bapanya daripada lembah kesesatan.

Penerangan yang diberikan oleh Nabi Ibrahim amat terperinci. Baginda tidak mahu ayahnya membuat andaian yang salah mengenai ajaran baru yang dibawanya. Setiap persoalan yang ditanya oleh ayahnya, dijawab dengan senang hati.Walaupun ayahnya menolak seruan dakwahnya, Nabi Ibrahim tetap tidak berputus asa.

Baginda selalu berdoa agar Allah s.w.t. memberi petunjuk dan rahmat kepada ayahnya suatu hari nanti.Sebagai seorang anak, Nabi Ibrahim amat menyayangi ayahnya. Baginda tidak sedikitpun berasa gentar atau takut apabila dimarahi oleh ayahnya.

Baginda juga selalu berkata kepada ayahnya:“Wahai ayahku, kenapalah kamu menyembah patung-patung yang tidak berguna itu. Dia tidak boleh melihat, tidak boleh mendengar dan tidak boleh memberi manfaat kepada kamu. Patung-patung itu, adalah ciptaan kamu sendiri. Bagaimana ia boleh menolong kamu? Bagaimana ia boleh memberi rezeki kepada kamu? Bagaimana ia boleh memberi kebaikan kepada kamu?”

Walaupun Nabi Ibrahim menggunakan pelbagai cara untuk berdakwah, namun ayahnya masih tetap menolak. Dia tidak mahu Nabi Ibrahim meneruskan niat untuk berdakwah kepadanya lalu berkata kepada Nabi Ibrahim:“Hai Ibrahim! Berpalingkah engkau daripada kepercayaan dan persembahanku? Dan kepercayaan apakah yang engkau ingin ajarkan kepadaku yang menggalakkan aku untuk menganutnya? Janganlah engkau membuatkan aku marah dan jangan cuba menderhakai aku. Jika tidak keluarlah engkau dari rumahku ini.”

Nabi Ibrahim menerima kata-kata cacian daripada ayahnya dengan tenang sambil berkata:“Wahai ayahku! Semoga engkau selamat. Aku akan tetap memohon keampunan bagimu daripada Allah dan tidak akan tinggal bersama kamu dengan bersama sembahan lain selain Allah. Mudah-mudahan aku tidak menjadi orang yang celaka dan malang dengan doaku untukmu.”

Lalu Nabi Ibrahim pun keluar dari rumah ayahnya. baginda berasa amat sedih kerana tidak berjaya menyampaikan dakwah kepada ayahnya.

Kisah dari Al Quran Siri (10)

Nabi Musa dihanyutkan ke Sungai Nil

DAN Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susuilah dia dan apabila khuatir terhadapnya maka jatuhkanlah ia ke dalam sungai (Nil). Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul. (al-Qasas: 7)

NABI Musa dilahirkan ketika Firaun memerintahkan supaya anak lelaki daripada kaum Bani Israel yang baru dilahirkan itu dibunuh.Pada awalnya, ibunya berjaya menyembunyikan Nabi Musa. Akan tetapi selepas tiga bulan, kelahiran Nabi Musa telah diketahui oleh Firaun dan tenteranya.

Ibunya berasa takut dan risau.Dalam ketakutan itulah Allah s.w.t. memberi ilham kepada ibunya agar membuat peti kecil untuk Nabi Musa. Allah memerintahkan agar baginda disusukan sehingga puas dan kenyang dahulu. Kemudian ibunya hendaklah memasukkan Musa ke dalam peti itu dan menghanyutkan ke Sungai Nil.

Kebetulan Sungai Nil itu berhampiran dengan rumahnya.Dengan hati yang tenang dan sabar, ibunya menuruti ajaran wahyu tersebut. Musa pun dimasukkan ke dalam peti, lalu dihanyutkan ke Sungai Nil.

Allah memerintahkan pula arus sungai agar menjadi tenang terhadap bayi yang dibawanya itu.

Allah memerintahkan agar arus sungai itu membawa Musa sehinggalah sampai di istana Firaun. Air Sungai Nil itu membawa peti tersebut ke istana Firaun.

Kebetulan pada hari tersebut, isteri Firaun iaitu Aisyah keluar berjalan-jalan bersama dayang-dayangnya. Ketika dayang-dayang Aisyah mengambil air di Sungai Nil, tiba-tiba mereka mendapati peti di tepi sungai. Lalu mereka membawa peti itu kepada Aisyah.

Aisyah menyuruh dayangnya membuka peti itu. Alangkah terkejutnya Aisyah apabila melihat seorang bayi di dalam peti itu. Timbul pula perasaan sayang terhadap bayi itu, Allah telah menaruh dalam hati Aisyah perasaan cinta kepada bayi itu sehingga air matanya berlinangan.

Maka Aisyah membawa bayi itu pulang ke istananya. Ketika itu Firaun sudah menunggu Aisyah di meja makan, Firaun terkejut melihat isterinya pulang dengan membawa seorang bayi. “Dari mana datangnya bayi ini?” tanya Firaun.“Kami mengambilnya di tepi Sungai Nil. Ketika itu kami ingin mengambil sedikit air sungai,” kata salah seorang daripada dayangnya.

“Ini adalah anak daripada Bani Israel. Oleh itu, anak ini mesti dibunuh,” kata Firaun lagi.

“Bayi ini tidak boleh dibunuh. Dia penyejuk hati bagiku dan bagimu. Aku harap bayi ini akan memberi manfaat kepada kita,” jawab Aisyah.

Firaun hairan melihat isterinya mendakap bayi itu sambil menangis dengan gembira. Firaun tidak pernah melihat isterinya berkeadaan begitu. Setelah Aisyah memujuk Firaun untuk memelihara bayi itu, maka Firaun tidak dapat berdalih lagi. Firaun bersetuju dengan kehendak isterinya itu.

Maka tinggallah Nabi Musa di istana Firaun sehinggalah baginda dewasa.

Kisah dari Al Quran Siri (9)

Burung hud-hud menjadi perisik Nabi Sulaiman

MAKA tidak lama kemudian (datanglah hud-hud), lalu ia berkata: “Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahui dan kubawa kepadamu dari negeri Saba’ suatu berita penting yang diyakini. (an-Naml: 22)

PADA suatu hari, Nabi Sulaiman meneliti dan memeriksa bala tenteranya. Baginda mendapati burung hud-hud tidak ada di situ. Sepatutnya mereka berkumpul untuk melakukan tugas dan perintah Nabi Sulaiman.

“Aku tidak nampak burung hud-hud. Ke mana burung hud-hud pergi?” tanya Nabi Sulaiman kepada bala tenteranya.Bala tentera yang lain diam. Mereka juga tidak tahu ke mana burung hud-hud pergi. Ternyata burung hud-hud tidak ada di situ.

“Aku akan menyembelih atau menyeksanya melainkan ia balik dengan membawa alasan yang nyata,” kata Nabi Sulaiman.Tiba-tiba muncullah hud-hud.

“Ke mana kamu pergi?” tanya Nabi Sulaiman dengan nada yang agak marah. “Sebenarnya, aku telah melakukan penerbangan secara senyap. Aku ingin melaporkan sesuatu yang penting. Tuanku perlu tahu akan hal ini,” kata hud-hud kepada Nabi Sulaiman.

“Apa yang engkau ingin terangkan kepada aku. Sekiranya engkau gagal memberitahu apa yang telah engkau lakukan, maka engkau akan dihukum atau disembelih,” kata Nabi Sulaiman.

“Sebenarnya aku berada di negeri Saba’. Ia terletak di negara Yaman. Kerajaan itu diperintah oleh Ratu Balqis. Kerajaannya mempunyai harta yang banyak. Aku melihat ratu itu duduk di atas takhta yang berkilauan dengan permata.”

Nabi Sulaiman terdiam mendengar penjelasan daripada burung hud-hud. Manakala bala tentera yang lain terpegun mendengar akan berita itu.

“Ratu Balqis bersama pengikutnya telah menyekutukan Allah. Mereka menyembah matahari. Mereka sujud kepadanya ketika matahari terbit dan terbenam. Syaitan telah memesongkan mereka dari jalan yang benar,” terang burung hud-hud itu lagi.

Perkhabaran itu sangat menghairankan Nabi Sulaiman. Baginda ingin menguji hud-hud sama ada berita yang disampaikan oleh hud-hud itu benar atau dusta. Nabi Sulaiman ingin meneliti laporan itu terlebih dahulu. Setelah memeriksa dan meneliti, Nabi Sulaiman memberikan sepucuk surat kepada burung hud-hud. Surat itu perlu disampaikan kepada Ratu Balqis.

“Bawalah suratku ini ke Saba’ dan lemparkanlah ke dalam istana Ratu Balqis. Kemudian pulang dengan cepat kerana aku ingin tahu berita selanjutnya,” kata Nabi Sulaiman.

Maka burung hud-hud pun terbang menuju ke Saba’. Apabila sampai di istana Ratu Balqis, burung hud-hud melemparkan surat itu seperti yang diarahkan Nabi Sulaiman. Surat itu dilemparkan di hadapan Ratu Balqis yang sedang duduk megah di atas takhtanya.

Ratu Balqis pun tidak mengetahui akan pengutus surat itu. Baginda tidak melihat sesiapa pun di dalam istana. Ditanyakan juga kepada pengawal istana jika mereka ada melihat seseorang memasuki istana. Dengan berhati-hati baginda mengambil surat itu. Ratu Balqis membuka dan membaca isi kandungan surat itu.

Kisah dari Al Quran Siri (8)

Nabi Yusuf dianiaya saudaranya sendiri

MEREKA berkata: Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar. (Yusuf: 17)

NABI Yusuf mempunyai kelebihan yang tersendiri berbanding saudara-saudaranya yang lain. Bapa Nabi Yusuf ialah Nabi Yaakub. Nabi Yusuf pernah bermimpi melihat 11 biji bintang, matahari dan bulan.

Kesemuanya tunduk kepada Nabi Yusuf. Lalu baginda menceritakan hal ini kepada bapanya. Nabi Yaakub sahaja yang mengetahui tafsiran mimpi anaknya itu.Walau bagaimanapun, saudara-saudaranya yang lain tidak senang hati melihat kelebihan yang ada pada Nabi Yusuf.

Mereka cemburu melihat Nabi Yusuf lebih kacak dan elok wajahnya. Nabi Yusuf juga mempunyai akhlak yang baik dan daya pemikirannya amat tinggi. Mereka berasa cemburu. Apatah lagi apabila bapa mereka lebih menyayangi Nabi Yusuf.Ini menyebabkan saudara mereka mahu menghapuskan sahaja Nabi Yusuf.

Mereka merancang untuk membunuh Nabi Yusuf. Namun, rancangan rancangan ini dihalang oleh Yahuza. Yahuza memberi cadangan agar mereka meninggalkan sahaja

Nabi Yusuf di telaga Jub yang letaknya jauh dari rumah mereka. Cadangan Yahuza diterima.Pada hari yang ditetapkan, mereka meminta izin daripada Nabi Yaakub untuk membawa Nabi Yusuf pergi bersama mereka menggembala kambing.

Sebenarnya Nabi Yaakub berat hati hendak membenarkan mereka membawa Nabi Yusuf. Setelah dipujuk oleh anak-anak itu, akhirnya Nabi Yaakub membenarkan mereka membawa Nabi Yusuf.Mereka pun pergilah menggembala kambing dengan membawa Nabi Yusuf. Apabila tiba di telaga Jub, mereka membuka pakaian Nabi Yusuf dan menolaknya ke dalam telaga.

“Apakah salahku sehingga kamu semua sanggup menganiaya aku seperti ini?” tanya Nabi Yusuf sayu.Mereka agak berasa berat hati untuk meninggalkan Nabi Yusuf.

Bagaimanapun perasaan cemburu dan tidak senang hati terhadap Nabi Yusuf menyebabkan mereka tidak mempedulikan rayuannya. Nabi Yusuf ditinggalkan keseorangan di situ.

“Aku bimbang ayah akan tahu perbuatan kita ini,” kata salah seorang daripada mereka.

“Itu perkara mudah. Kita beritahu ayah bahawa ketika Yusuf bermain sendirian, tiba-tiba seekor serigala menerkam ke arahnya. Kita cuba menyelamatkannya tetapi tidak berjaya,” kata yang lain pula.

Masing-masing bersetuju dengan cadangan itu. Lalu mereka pun berjalan untuk memburu seekor serigala sebagai bukti. Mereka mahu menjadikan seekor kambing sebagai umpan.

Apabila ternampak seekor serigala, mereka bersembunyi dan membiarkan kambing tersebut dimakan oleh serigala itu. Ketika serigala sedang makan kambing tersebut dengan lahapnya, maka mereka menangkap dan membunuhnya.

Kemudian mereka mengambil baju Nabi Yusuf dan melumur baju itu dengan darah kambing yang telah dimakan serigala itu.Selepas itu, mereka pulang dengan membawa baju Yusuf yang berlumuran darah itu.

Apabila tiba di rumah, mereka berpura-pura sedih.“Wahai ayahku, ketika kami menggembala, Yusuf bermain jauh daripada kami. Tanpa kami sedari, seekor serigala menerkam ke arahnya. Kami tidak berjaya untuk membantunya. Baju ini adalah buktinya,” kata saudaranya yang paling tua.

“Aku tahu, ini adalah disebabkan rasa tidak puas hati kamu semua terhadap dia. Aku hanya mampu berdoa dan bersabar,” kata Nabi Yaakub dengan perasaan sedih.Mereka terdiam. Hanya penyesalan menyelubungi diri mereka apabila melihat kesedihan bapa mereka. Mereka berdoa agar Nabi Yusuf diambil oleh sesiapa yang melalui kawasan itu.

Kisah dari Al Quran Siri (7)

Kisah Maryam dan Kelahiran Nabi Isa

MARYAM berkata: “Bagaimana akan ada bagiku seorang anak laki-laki, sedang tidak pernah seorang manusia pun menyentuhku dan aku bukan (pula) seorang penzina? Jibril berkata: Demikian Tuhanmu berfirman “Hal itu adalah mudah bagi-Ku; dan agar dapat Kami menjadikannya suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat bagi Kami; dan hal itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan. (Maryam: 20-21)

MARYAM merupakan ibu kepada Nabi Isa. Semasa kecil, Maryam dihantar ke sebuah tempat ibadah oleh bapa saudaranya, Nabi Zakaria.

Pada suatu hari, ketika Maryam sedang beribadat kepada Allah, datanglah Malaikat Jibril dalam bentuk pemuda yang tampan agar Maryam tidak ketakutan.“Aku datang sebagai utusan Allah. Dia akan memberimu seorang anak lelaki yang suci dan kudus,” kata Malaikat Jibril.

Maryam terkejut mendengar kata-kata itu. “Bagaimana aku boleh memperoleh anak lelaki sedangkan aku masih belum berkahwin? Aku masih belum pernah disentuh oleh mana-mana lelaki,” balas Maryam.

“Apabila Allah s.w.t. menghendaki sesuatu perkara itu terjadi, maka akan jadilah ia. Dia Maha Berkuasa di atas segala-galanya,” jawab Malaikat Jibril.

Malaikat Jibril pun terus berlalu meninggalkan Maryam kebingungan. Masyarakat pasti akan menghina dan mencercanya.

Beliau masih belum berkahwin. Sekiranya mengandung, pasti orang akan menuduhnya melakukan zina. Oleh sebab itu, Maryam terpaksa melarikan diri dari Baitulmaqdis. Beliau pulang ke kampung halamannya di Annashirah.

Di kampung, Maryam memencilkan diri daripada orang kampung. Beliau enggan menemui sesiapa pun termasuklah keluarganya sendiri. Beliau berpura-pura tidak sihat.

Sepanjang masa Maryam mengabdikan dirinya dan beribadat kepada Allah. Beliau bermohon agar dikuatkan semangatnya untuk menghadapi cemuhan daripada masyarakat kelak.

Maryam memperoleh ketenangan yang didambakan dengan keizinan Allah.Allah memperkenankan doa hamba-Nya yang soleh. Maryam melalui hari-harinya dengan ketabahan sehinggalah beliau selamat melahirkan bayi yang dikandungkannya itu.

Beliau memberi nama anaknya Isa yang bakal menjadi nabi bagi kaum Bani Israel serta membawa kitab Injil.

DAN (ingatlah wahai Maryam) yang telah menjaga kehormatannya lalu Kami tiupkan ke dalam (tubuhnya) roh dari Kami dan Kami jadikan dia dan anaknya tanda (kekuasaan) yang besar bagi alam semesta. (al-Anbiyaa’: 91)

MARYAM seorang perempuan yang suci. Beliau menghabiskan masanya dengan beribadat kepada Allah. Pada suatu hari, beliau didatangi malaikat Jibrail. Malaikat tersebut memberitahu Maryam bahawa beliau bakal mengandungkan seorang anak yang kemudiannya akan menjadi rasul.

Apabila tiba masa untuk melahirkan anak, Maryam pun keluar dari rumahnya dengan senyap-senyap. Beliau telah pergi ke tempat yang terpencil dan tiada orang.

Akhirnya, Maryam terpaksa berhenti di bawah sebatang pokok kurma. Beliau sudah tidak dapat menahan kesakitan lagi. Tidak lama kemudian, Maryam pun melahirkan bayinya dan bayi itu diberi nama Isa.

Maryam menatap wajah anaknya dengan linangan air mata.

Beliau berkata: “Alangkah baiknya kalau aku ditakdirkan mati sebelum melahirkan anak tanpa sebarang suami.”

Maryam berasa amat lapar dan dahaga. Beliau tidak menemui apa-apa yang boleh dimakan atau diminum. Keadaan padang pasir itu kontang dan tandus. Tiba-tiba Maryam terdengar satu suara.

“Wahai Maryam, janganlah engkau bersedih. Minumlah air yang mengalir dari bawah tapak kakimu. Goyangkan pokok kurma di belakangmu dan makanlah buahnya.

“Kemudian pulanglah engkau ke kampung. Jika engkau menemui sesiapa, katakan kepada mereka engkau bernazar puasa dan tidak akan bercakap dengan sesiapapun.”

Maryam pun makan dan minum sehingga beliau benar-benar sihat. Tibalah masa untuk beliau pulang ke kampung halamannya. Maryam mundar-mandir di tempatnya berdiri. Beliau risaukan keselamatannya. Beliau tahu kaumnya nanti akan menghinanya kerana melahirkan anak tanpa suami.

Maryam kemudiannya berdoa kepada Allah agar ditabahkan hatinya apabila menghadapi hinaan daripada kaumnya. Beliau juga meminta agar dirinya dan anaknya dipelihara.Setelah itu, Maryam mengendong bayinya pulang.

Seperti yang diduga, ramai yang terkejut apabila melihat perempuan yang belum berkahwin itu mempunyai anak. Kaum keluarga Maryam bergegas datang. Semua yang ada mengerumuni Maryam dan anaknya, Isa.

“Wahai Maryam! Engkau telah mencemarkan nama baik keluargamu. Keluargamu adalah daripada golongan orang yang beriman. Kamu telah membuatkan kami malu dan terhina,” kata keluarga Maryam.

Maryam memberitahu dengan isyarat bahawa beliau sedang bernazar puasa dan tidak akan bercakap dengan sesiapa pun. Beliau menuding ke arah Isa yang sedang berada di dalam buaian.

Tiba-tiba Isa berkata: “Aku adalah hamba Allah. Dia memberiku kitab Injil dan menjadikan aku seorang nabi. Aku sentiasa diberkati. Aku diperintahkan mendirikan solat dan menunaikan zakat selagi aku masih hidup. Aku akan berbakti kepada ibuku dan tidaklah aku dijadikan sebagai orang yang sombong. Moga aku sejahtera pada hari aku dilahirkan, ketika meninggal dunia dan ketika dibangkitkan semula.”

Maka tersebarlah cerita mengenai Isa yang masih bayi tetapi sudah boleh bercakap. Isa telah membersihkan fitnah yang dilontarkan kepada ibunya.

Maryam adalah perempuan yang suci. Beliau telah melahirkan seorang anak yang akan menjadi nabi dan rasul. Kaum keluarga Maryam tidak lagi menuduh yang bukan-bukan terhadap Maryam. Mereka kembali menghormati Maryam dan anaknya yang bernama Isa.

PENGAJARAN

*Menabur fitnah adalah perkara yang dibenci oleh Allah. Fitnah mampu memecah-belahkan umat. Oleh itu, janganlah kita sesekali membuat fitnah.

*Apabila kita menghadapi kesusahan, ingatlah ia sekadar ujian daripada Allah. Jika kita sabar menghadapinya, maka kita akan beroleh pahala.

*Tidak ada perkara yang mustahil untuk berlaku. Jika Allah berkehendakkan perkara itu terjadi, maka dengan sekelip mata ia akan terjadi, kerana Allah itu Maha Berkuasa di atas segala-galanya