Nabi Musa dihanyutkan ke Sungai Nil
DAN Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susuilah dia dan apabila khuatir terhadapnya maka jatuhkanlah ia ke dalam sungai (Nil). Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul. (al-Qasas: 7)
NABI Musa dilahirkan ketika Firaun memerintahkan supaya anak lelaki daripada kaum Bani Israel yang baru dilahirkan itu dibunuh.Pada awalnya, ibunya berjaya menyembunyikan Nabi Musa. Akan tetapi selepas tiga bulan, kelahiran Nabi Musa telah diketahui oleh Firaun dan tenteranya.
Ibunya berasa takut dan risau.Dalam ketakutan itulah Allah s.w.t. memberi ilham kepada ibunya agar membuat peti kecil untuk Nabi Musa. Allah memerintahkan agar baginda disusukan sehingga puas dan kenyang dahulu. Kemudian ibunya hendaklah memasukkan Musa ke dalam peti itu dan menghanyutkan ke Sungai Nil.
Kebetulan Sungai Nil itu berhampiran dengan rumahnya.Dengan hati yang tenang dan sabar, ibunya menuruti ajaran wahyu tersebut. Musa pun dimasukkan ke dalam peti, lalu dihanyutkan ke Sungai Nil.
Allah memerintahkan pula arus sungai agar menjadi tenang terhadap bayi yang dibawanya itu.
Allah memerintahkan agar arus sungai itu membawa Musa sehinggalah sampai di istana Firaun. Air Sungai Nil itu membawa peti tersebut ke istana Firaun.
Kebetulan pada hari tersebut, isteri Firaun iaitu Aisyah keluar berjalan-jalan bersama dayang-dayangnya. Ketika dayang-dayang Aisyah mengambil air di Sungai Nil, tiba-tiba mereka mendapati peti di tepi sungai. Lalu mereka membawa peti itu kepada Aisyah.
Aisyah menyuruh dayangnya membuka peti itu. Alangkah terkejutnya Aisyah apabila melihat seorang bayi di dalam peti itu. Timbul pula perasaan sayang terhadap bayi itu, Allah telah menaruh dalam hati Aisyah perasaan cinta kepada bayi itu sehingga air matanya berlinangan.
Maka Aisyah membawa bayi itu pulang ke istananya. Ketika itu Firaun sudah menunggu Aisyah di meja makan, Firaun terkejut melihat isterinya pulang dengan membawa seorang bayi. “Dari mana datangnya bayi ini?” tanya Firaun.“Kami mengambilnya di tepi Sungai Nil. Ketika itu kami ingin mengambil sedikit air sungai,” kata salah seorang daripada dayangnya.
“Ini adalah anak daripada Bani Israel. Oleh itu, anak ini mesti dibunuh,” kata Firaun lagi.
“Bayi ini tidak boleh dibunuh. Dia penyejuk hati bagiku dan bagimu. Aku harap bayi ini akan memberi manfaat kepada kita,” jawab Aisyah.
Firaun hairan melihat isterinya mendakap bayi itu sambil menangis dengan gembira. Firaun tidak pernah melihat isterinya berkeadaan begitu. Setelah Aisyah memujuk Firaun untuk memelihara bayi itu, maka Firaun tidak dapat berdalih lagi. Firaun bersetuju dengan kehendak isterinya itu.
Maka tinggallah Nabi Musa di istana Firaun sehinggalah baginda dewasa.
Thursday, September 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment