Thursday, September 11, 2008

Kisah dari Al Quran Siri (9)

Burung hud-hud menjadi perisik Nabi Sulaiman

MAKA tidak lama kemudian (datanglah hud-hud), lalu ia berkata: “Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahui dan kubawa kepadamu dari negeri Saba’ suatu berita penting yang diyakini. (an-Naml: 22)

PADA suatu hari, Nabi Sulaiman meneliti dan memeriksa bala tenteranya. Baginda mendapati burung hud-hud tidak ada di situ. Sepatutnya mereka berkumpul untuk melakukan tugas dan perintah Nabi Sulaiman.

“Aku tidak nampak burung hud-hud. Ke mana burung hud-hud pergi?” tanya Nabi Sulaiman kepada bala tenteranya.Bala tentera yang lain diam. Mereka juga tidak tahu ke mana burung hud-hud pergi. Ternyata burung hud-hud tidak ada di situ.

“Aku akan menyembelih atau menyeksanya melainkan ia balik dengan membawa alasan yang nyata,” kata Nabi Sulaiman.Tiba-tiba muncullah hud-hud.

“Ke mana kamu pergi?” tanya Nabi Sulaiman dengan nada yang agak marah. “Sebenarnya, aku telah melakukan penerbangan secara senyap. Aku ingin melaporkan sesuatu yang penting. Tuanku perlu tahu akan hal ini,” kata hud-hud kepada Nabi Sulaiman.

“Apa yang engkau ingin terangkan kepada aku. Sekiranya engkau gagal memberitahu apa yang telah engkau lakukan, maka engkau akan dihukum atau disembelih,” kata Nabi Sulaiman.

“Sebenarnya aku berada di negeri Saba’. Ia terletak di negara Yaman. Kerajaan itu diperintah oleh Ratu Balqis. Kerajaannya mempunyai harta yang banyak. Aku melihat ratu itu duduk di atas takhta yang berkilauan dengan permata.”

Nabi Sulaiman terdiam mendengar penjelasan daripada burung hud-hud. Manakala bala tentera yang lain terpegun mendengar akan berita itu.

“Ratu Balqis bersama pengikutnya telah menyekutukan Allah. Mereka menyembah matahari. Mereka sujud kepadanya ketika matahari terbit dan terbenam. Syaitan telah memesongkan mereka dari jalan yang benar,” terang burung hud-hud itu lagi.

Perkhabaran itu sangat menghairankan Nabi Sulaiman. Baginda ingin menguji hud-hud sama ada berita yang disampaikan oleh hud-hud itu benar atau dusta. Nabi Sulaiman ingin meneliti laporan itu terlebih dahulu. Setelah memeriksa dan meneliti, Nabi Sulaiman memberikan sepucuk surat kepada burung hud-hud. Surat itu perlu disampaikan kepada Ratu Balqis.

“Bawalah suratku ini ke Saba’ dan lemparkanlah ke dalam istana Ratu Balqis. Kemudian pulang dengan cepat kerana aku ingin tahu berita selanjutnya,” kata Nabi Sulaiman.

Maka burung hud-hud pun terbang menuju ke Saba’. Apabila sampai di istana Ratu Balqis, burung hud-hud melemparkan surat itu seperti yang diarahkan Nabi Sulaiman. Surat itu dilemparkan di hadapan Ratu Balqis yang sedang duduk megah di atas takhtanya.

Ratu Balqis pun tidak mengetahui akan pengutus surat itu. Baginda tidak melihat sesiapa pun di dalam istana. Ditanyakan juga kepada pengawal istana jika mereka ada melihat seseorang memasuki istana. Dengan berhati-hati baginda mengambil surat itu. Ratu Balqis membuka dan membaca isi kandungan surat itu.

No comments: