Wednesday, September 10, 2008

Kisah dari Al- Quran siri (2)

Pujukan kafir hentikan dakwah

ORANG kafir Quraisy sangat kecewa apabila tentangan secara keras ke atas Nabi Muhammad S.A.W. gagal melumpuhkan kegiatan dakwah baginda. Malah, makin ramai pula y
ang menganut agama Islam. Ini disebabkan oleh kekaguman mereka kepada sifat sabar Rasulullah.

Pada suatu hari, pemimpin Mekah pun mengadakan pertemuan sesama sendiri di Nadwah. Mereka mencari jalan untuk menentang kebangkitan Rasulullah. Kali ini mereka mahu cara yang betul-betul berkesan diambil ke atas Rasulullah dan pengikut-pengikut baginda.

Seorang pemimpin Mekah mencadangkan agar mereka menggunakan cara diplomasi. Jika kekerasan tidak mampu menghentikan dakwah Rasulullah, pasti cara lembut ini akan berjaya. Setelah berbincang dengan panjang lebar, mereka pun memutuskan untuk menemui Abu Talib, bapa saudara Rasulullah. Abu Talib diminta menyampaikan tawaran yang diberikan.

Seorang pemimpin Mekah menawarkan anak gadisnya yang paling cantik kepada Rasulullah. Mereka akan dikahwinkan secara besar-besaran. Tentang hal mas kahwin, pemimpin itu akan menyelesaikannya.
Rasulullah tidak perlu bimbang. Mereka juga menawarkan seluruh kekayaan mereka kepada Rasulullah.
Baginda akan dilantik menjadi ketua. Semua orang akan patuh kepada baginda. Namun, baginda mestilah menghentikan dakwah. Baginda dan para pengikut mesti kembali pada agama nenek moyang mereka iaitu menyembah berhala.

Apabila tawaran itu disampaikan kepada Rasulullah, baginda pun berkata kepada bapa saudara itu: “Wahai bapa saudaraku, sekiranya mereka sanggup meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, untuk aku meninggalkan dakwahku ini sehinggalah Allah menzahirkannya atau aku musnah kerananya.”
Orang Quraisy bertambah kecewa apabila Rasulullah dengan tegas menolak tawaran tersebut secara mentah- mentah. Jika ada tawaran yang lebih besar lagi pun, baginda tetap menolak.

Sekalipun baginda ditawarkan bulan di tangan kiri dan matahari di tangan kanan, baginda tetap enggan untuk berhenti berdakwah. Rasulullah akan meneruskan perjuangan baginda sama ada baginda berjaya atau syahid kerananya.

Keengganan Rasulullah menerima tawaran menyebabkan kemarahan pemimpin Mekah makin memuncak. Mereka kembali mengadakan mesyuarat di Nadwah.

Masing-masing memberi cadangan agar kegiatan dakwah Rasulullah dapat disekat dan diberhentikan. Kali ini mereka bercadang untuk bertindak secara keras dan tegas.

- Petikan daripada buku, Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

No comments: