Thursday, September 11, 2008

Kisah dari Al Quran Siri (12)

Raja yang angkuh dan ahli sihir kanak-kanak

TERKUTUKLAH orang-orang yang membuat lubang-lubang (pembakaran), api yang bernyala-nyala, ketika mereka duduk mengelilinginya, sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman. Tidak ada yang mereka ingkari daripada orang- orang mukmin, kecuali kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Terpuji... (al-Buruuj: 4)

PADA suatu masa, ada seorang kanak-kanak yang mempelajari ilmu sihir dengan ahli sihir diraja. Ahli sihir itu sudah tua, jadi raja pun menyuruh kanak-kanak itu menjadi penggantinya. Setiap hari kanak-kanak itu pun berulang alik dari rumahnya ke rumah ahli sihir itu.

Di pertengahan jalan, terdapat sebuah rumah milik seorang pendeta. Kanak-kanak itu selalu berhenti di rumah itu kerana amat tertarik dengan ajaran pendeta itu. Pada suatu hari, kanak-kanak itu dalam perjalanan ke rumah ahli sihir. Di pertengahan perjalanan, dia diganggu oleh binatang buas.

Kanak-kanak itu pun ingin menguji ajaran siapakah lebih baik. Adakah ahli sihir atau pendeta? Dia pun mengambil sebiji batu.“Ya Allah, kalau ajaran pendeta itu benar di sisi-Mu dan ajaran ahli sihir itu salah, maka kau bunuhlah binatang ini.”

Kanak-kanak itu pun melemparkan batu yang dipegangnya. Dengan izin Allah, matilah binatang itu apabila terkena batu yang dilontarnya. Kanak-kanak itu pun pergi ke rumah pendeta dan dia menceritakan apa yang berlaku.

“Wahai anakku, engkau telah mencapai darjat yang tinggi. Selepas ini, engkau akan menempuhi banyak cubaan. Walau apa pun yang berlaku, janganlah engkau menceritakan bahawa engkau mengenaliku,” pesan pendeta itu.

Mulai hari itu, nama kanak-kanak itu pun terkenal. Dia juga mampu mengubati pelbagai penyakit. Ramailah orang datang berubat dengannya.Seorang pembesar raja yang buta pergi berubat dengan kanak-kanak itu dan membawa banyak hadiah.

“Kalau kau mampu menyembuhkan butaku ini, aku akan memberi kau lebih banyak hadiah,” kata pembesar itu.

“Saya tidak berkuasa menyembuhkan penyakit. Hanya Allah yang mampu. Jika tuan mengaku beriman kepada Allah, saya akan berdoa agar penyakit tuan disembuhkan,” kata kanak-kanak itu.

Selepas kanak-kanak itu berdoa, sembuhlan mata pembesar yang buta itu. Dia pun bertemu dengan raja dan raja berasa sangat hairan.“Siapa yang menyembuhkan mata engkau? Adakah kanak-kanak ahli sihir itu?” tanya raja.

“Bukan!” jawab pembesar itu. “Tuhan ku dan Tuhan tuanku iaitu Allah.”

“Engkau mengaku ada Tuhan selain aku?”“Tuhanku dan Tuhan tuanku ialah Allah,” tegas pembesar itu. Raja sangat murka. Pembesar itu ditangkap dan diseksa. Akibat tidak tahan menanggung seksa, pembesar itu memberitahu bahawa gurunya ialah kanak-kanak itu.

Kanak-kanak itu juga diseksa apabila dia mengatakan Tuhannya ialah Allah. Apabila tidak tahan menanggung seksaan itu, dia pun memberitahu nama pendeta yang menjadi gurunya.Pendeta itu juga ditangkap dan diseksa serta dipaksa meninggalkan agama Allah itu.

Apabila pendeta itu enggan, kepalanya digergaji sampai terbelah dua. Pembesar itu pun dibunuh juga.Raja mengarahkan supaya kanak-kanak itu dihumbankan dari atas gunung tetapi kanak-kanak itu terselamat. Raja mengarahkan semula supaya dia dilontarkan ke tengah laut. Sekali lagi dia diselamatkan oleh Allah.

“Wahai raja, tuanku tidak akan dapat membunuhku. Namun, jika tuanku mahu membunuhku, ada syaratnya,” kata kanak-kanak itu.

“Apa syaratnya?” soal raja.“Suruhlah manusia berkumpul di suatu tempat. Salibkan aku. Tuanku ambil satu anak panah. Semasa hendak melepaskan anak panah, tuanku bacalah, Dengan nama Allah, Tuhan anak kecil ini. Barulah tuanku dapat membunuhku.”

Raja pun melakukan seperti yang diarahkan. Akhirnya kanak-kanak itu pun mati. Orang ramai yang hadir terkejut melihat peristiwa itu. Mereka terus beriman kepada Allah.Raja itu amat murka. Dikerahkan orang suruhan baginda agar menggali lubang yang besar kemudian dinyalakan api.

“Sesiapa yang masih beriman dengan Tuhan kanak-kanak ini, dia akan dibakar di dalam lubang ini. Sesiapa yang kembali kepada agama nenek moyang, mereka akan selamat,” kata raja itu.Namun, tidak ada seorang pun yang berundur. Mereka beramai-ramai terjun ke dalam lubang yang dalam itu. Maka mereka itu pun mati dalam keimanan.

Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.
PENGAJARAN*Hanya Allah yang mampu menyembuhkan sebarang penyakit.

No comments: